Hilangnya Identiti, Imej dan Kekuatan

Thursday, July 23, 2009

Apabila kita melihat umat islam dengan berdasarkan apa yang terdapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah maka kita akan menemukan umat itu sebagai umat lain, bukan sebagai umat Al-Quran yang digambarkankan oleh Allah s.w.t. sebagai umat terbaik dan mampu membawa kepada identiti, imej dan kekuatan umat islam itu sendiri yang dijelaskan alasan terbaiknya kerana mereka menyeru manusia berbuat makruf dan mencegah manusia berlaku mungkar, serta beriman kepada Allah s.w.t.

Adakah umat islam masih bermimpi di malam hari dengan hanya setakat duduk dikerusi dan melepak di kedai kopi sambil menunggu kejayaan di siang hari tanpa memikirkan kesannya pada umat islam yang semakin lama semakin lemah dan mundur atau hanya pandai berpolitik disana sini seakan-akan agama itu melalui jalan politik saja? Adakah kita hanya pandai menuding jari dan melempar-lemparkan tuduhan fitnah yang hanya akan dipandang serong dikalangan umat yang akan merugikan umat islam? Allah s.w.t berfirman : Dan janganlah kamu duduk di tiap-tiap jalan dengan menakut-nakuti dan menghalang-halangi orang yang beriman dari jalan Allah, dan menginginkan agar jalan Allah itu menjadi bengkok. Dan ingatlah di waktu dahulunya kamu berjumlah sedikit, lalu Allah memperbanyak jumlah kamu. Dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerusakan. (Al A'raaf 86). Di sini saya akan cuba membawa beberapa pemasalahan dan keliruan umat islam masa kini seperti:
1) Penyerupaan dan Peniruan
Peniruan tidak boleh diukur pada niat dan tujuan kerana ia adalah perkara batin yang tidak boleh dikesan oleh pancaindera manusia. Sebaliknya peniruan hanya boleh diukur pada penampilan zahir seperti pakaian, pergerakan dan perkataan. Justeru banyak syariat islam didasarkan kepada larangan peniruan zahir. Nabi s.a.w melarang umatnya meniru golongan yahudi sehingga golongan itu berkata, Lelaki ini (Nabi SAW) tidak membiarkan satu pun perbuatan kita sama dengannya. (Riwayat Muslim). Dalam hadis yang lain para Sahabat pernah meminta baginda jadikan untuk mereka sebatang pokok sebagai tempat berkumpul sebagaimana golongan musyrikin pernah jadikan sebatang pokok dikenali Zat Anwat yg digunakan untuk tempat berkumpul dan memohon berkat. Mendengar permintaan itu, Nabi SAW bersabda: Maha Suci Allah permintaan ini sama permintaan Bani Israel kepada Nabi Musa AS: Buatkanlah untuk kami (patung) tuhan sebagaimana mereka juga ada beberapa tuhan.Demi Yang nyawaku di TanganNya! Sesungguhnya kamu akan tiru amalan umat sebelum kamu satu persatu (Riwayat Ahmad dan Tarmizi disahihkan AlBani).Jika diperhatikan hadis ini Nabi SAW sedar bahawa niat dan tujuan Sahabat itu baik kerana pokok yang diminta oleh mereka tidak sama dengan patung yang diminta oleh Bani Israel. Namun peniruan zahir adalah sebahagian daripada komponen penyerupaan meskipun niat dan tujuannya berbeza. Daripada prinsip inilah senaman Yoga diharamkan kerana menyerupai ajaran Hindu meskipun ia dilakukan tanpa mentera dan tanpa matlamat penyatuan dengan Tuhan sebagaimana yoga asli, namun pergerakan dan cara duduknya adalah sejenis peniruan yang menepati sebahagian komponen penyerupaan (tasybih). Namun kemusykilan lebih besar ialah kenapa yoga sahaja yang menjadi sasaran, sedangkan banyak lagi perkara lain juga mengandungi unsur peniruan? Jika senaman yoga diharamkan ke atas umat islam kerana ia sejenis peniruan yang menepati sebahagian komponen penyerupaan, maka biji tasbih zikir juga mirip kepada jibmala (Hindu), rosary (Kristian) dan (wisnuisme) Budha. Begitu juga berzikir serentak beramai-ramai dengan nada lagu dan bermelodi sambil mengayun badan atau kepala menyerupai upacara ‘hymns’ Yahudi dan ‘psalms’ Nasrani. Pemikiran Wahdatul Wujud/ Martabat Tujuh juga mengandungi matlamat seperti yoga tetapi masih berleluasa dan dipertahankan oleh pelbagai pihak samaada golongan agama atau tidak. Apa lebihnya yoga sehingga skripnya terpilih untuk dilakonkan oleh watak-watak yang ingin menunjukkan keprihatinan terhadap aqidah umat ? Umat Islam sering mengalami krisis kehilangan identiti kerana sikap mereka yang suka meniru budaya asing. Hal ini telah digambarkan oleh Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan ikut cara umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hatta jika mereka masuk lubang biawak pun nescaya kamu akan mengikutinya.” Sahabat bertanya: Golongan Yahudi dan Nasranikah(yang kamu maksudkan)? Baginda menjawab: (Kalau tidak mereka) Siapa lagi?” (Riwayat Al-Bukari dan Muslim). Apa yang digambarkan oleh Nabi SAW itu benar-benar menjadi kenyataan apabila ramai dari kalangan umat islam pada hari ini gemar meniru budaya bukan Islam. Semakin ramai lelaki ingin menyerupai perempuan meskipun dada mereka rata dan semakin ramai perempuan ingin menyerupai lelaki meskipun mereka tetap berlurah.( Artikel penuh dalam sinar Harian 12/12/2008 , Yoga : Antara penyerupaan dan peniruan oleh Dr Azwira Abdul Aziz )
2) Politik
Anda mahu berpolitik terpulang ,tapi jangan gila berpolitik. Politik adalah sebahagian daripada agama tapi kita telah merubah wajah politik itu semakin mengelirukan dan seakan-akan itulah wajah sebenar politik islam . Adakah politik islam itu kerjanya mengkritik ,memaki , menjatuhkan pemerintah atau hanya sekadar menurunkan harga minyak dan barang saja seperti yang dimahukan oleh kebanyakan rakyat ? Politik walaupun ada persaingan tetapi orang bersaing untuk menceritakan apakah cara terbaik yang boleh dilakukan oleh mereka kepada rakyatnya. Tetapi politik sekarang lebih kepada menceritakan buruk perangai dan mengaibkan seseorang itu seolah-olah parti merekalah yang memperjuangkan islam sebenar. Itu bukan politik islam tapi politik londeh melondeh yang membawa pelbagai kerosakan pada agama ,seperti memfitnah, buruk sangka, dengki ,memaki, seakan-akan perkara itu dihalalkan oleh sebahagian mereka. Firman Allah s.w.t Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk-sangka (kecurigaan), karena sebahagian dari buruk-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang (Al Hujuraat-12). Apabila umat lupa akan nikmat Islam yang Allah kurniakan, maka berlakulah sikap angkuh, sombong serta sikap membela puak (jamaah atau aliran) tersendiri. Sikap inilah menyebabkan umat islam saling berpecah dan bermusuhan sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini. Firman Allah Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.(Ali 'Imran-103).
3) Gejala Sosial
Remaja yang berwawasan adalah tunggak kepada bangsa,agama dan negara. Tetapi perginya remaja sekarang ini hanya sekadar merempit dijalanan seolah-olah dijadikan tempat untuk menenangkan fikiran dengan melancong di sana sini, dengan pelbagai aksi yang menarik dan akhirnya badan,tangan,kepala entah ke mana.Ini semua hanya membuang masa dan tiada manfaat malah dapat dijadikan satu kesempatan para perniaga untuk menguntungkan lagi kedai kain kapan mereka ,penjualan batu nisan dan pak-pak imam yang bertopengkan agama seolah-olah mereka berniat ikhlas dan jujur tetapi menjadikan agama ini untuk kepentingan diri mereka dengan dicajkan pelbagai bil kepada keluarga simati dalam pengurusan kapan, solat jenazah seakan-akan dapat membawa satu pepatah: ‘lagi banyak rempit lagi banyak untungnya”. Bukan itu saja malah pergaulan yang bebas , berzina dan pasangan yang bercinta buta seolah-olah itulah cinta hakiki mereka. Tetapi ketahuilah bahwa cinta yang hakiki adalah setelah menikah. Adapun selain itu, umumnya adalah cinta yang penuh kepalsuan. Cinta yang dibangun di atas dusta dan kebohongan, semata-mata untuk bersenang-senang memuaskan hawa nafsu yang tak lama kemudian akan nampaklah kenyataan yang sesungguhnya. Berapa banyak suami isteri bercerai dan mereka telah berpacaran sebelum akad pernikahan dan berjanji akan setia berkasih sayang sepanjang zaman? Bahkan berapa banyak pula pasangan yang berzina sebelum sampai pada pelaminnya ? Mereka merasa ada kebebasan dan hak untuk melakukan apa saja sedangkan hak Allah lebih diutamakan dari mereka sebagai manusia ciptaanya. Sabda Nabi SAW "Sesungguhnya Allah telah meletakkan had tertentu (dalam kehidupan kta), maka jangan kamu cerobohinya, dan telah menwajibkan bagi beberapa kewajiban dan jangan kamu sesekali mengabaikannya dan telah mengharamkan beberapa perkara dan jangan kamu langgarinya." (Riwayat Al-Hakim, 4/129 : Az-Zahabi tidak memberikan komen tentang tahap hadis ini)
4) Golongan Agama
Dalam satu hadis yang ringkas Rasulullah SAW bersabda “ Ilmu ini akan dibawa bagi setiap generasi orang-orang yang amanah yang kerja orang amanah ini mempertahankan islam daripada penyelewengan orang-orang yang melampau,tokok tambah kaki ahli-ahli batil dan takwilan orang-orang yang jahil”(Petikan hadis ini diambil dalam wawancara khas dengan Mufti Perlis yang dikendalikan oleh Datuk Johan Jaafar).Inilah tugas ulamak dan golongan agama yang perlu dilakukan untuk mengembalikan ajaran islam itu sendiri. Tapi sesetengah golongan –golongan agama ini hanya menceritakan lawak jenaka, politik , Israiliyyat dan hadis palsu yang hanya menyedapkan telinga didengari oleh pendengar. Kata Dr. Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql: “Qussas mereka itu adalah wu’`azd yang mengadakan majlis-majlis untuk memberi nasihat, yang mana ianya menyanggahi majlis ilmu. Mereka memberi nasihat kepada orang ramai dengan berbagai hikayat, israiliyyat dan seumpamanya yang tidak ada asal usulnya, atau palsu, atau apa yang akal orang awam tidak dapat memikirkannya.” (Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql, Al-Ahwa` wa al-Firaq wa al-Bida’ `ibr Tarikh al-Islam, m.s. 44, cetakan Dar al-Watan, Riyad). Benarlah apa yang dikatakan oleh Dr Asri Zainul Abidin ( Bekas Mufti Perlis) dalam artikelnya "Orang ramai yang jahil menjadi mangsa. Mereka tidak dapat membezakan antara tokoh ilmiah dengan ‘ustaz jadi-jadian’ yang menjadi penceramah segera dengan hanya belajar beberapa hari atau baca beberapa buku melayu, atau terjemahan. Lalu ada yang menghiasi ceramahnya dengan hadith-hadith palsu, fitnah, lawak jenaka, maki hamun yang ada pula pendengar yang sudi menadah telinga untuk mereka. Jika keadaan ini dibiarkan, entah berapa ramai lagi ‘Sharil Long’ yang akan muncul. Rosaklah kemurnian masjid dan surau". Lebih mendukacitakan ada sebahagian penceramah menjadikan masjid dan surau untuk mempromosikan barang-barang jualan mereka.Bukan saja golongan agama bahkan ada sebahagian masyarakat mempergunakan atas nama agama untuk mencari wang dengan dijualnya air dan barangan jampi yang pelik.Sehingga ada yang membuat bisnes tertentu yang dijampi secara tulisan dan bacaan dengan harapan boleh menjadikan seseorang itu dari jahat menjadi baik, orang tidak cerdik menjadi cerdik dan berbagai fadhilat-fadhilat pada air tersebut.Jika benarlah golongan-golongan seperti ini jujur dan ikhlas mengapa tidak dijampi saja empangan-empangan air dan di lautan di negara ini agar semua rakyat menjadi baik dan cerdik ? Kalau sekiranya benar minuman air itu boleh menjadikan seseorang cerdik, maka sudah tentu Nabi dan para sahabat akan mendahului kita melakukannya. Ini kerana di kalangan sahabat juga ada yang kuat hafalan dan ingatannya dan ada pula yang lemah dan kurang kuat ingatannya. al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya meriwayatkan kisah Abu Syah yang mendengar khutbah Nabi saw, tetapi beliau tidak mampu menghafalnya, lalu beliau meminta Nabi saw menuliskan untuk beliau isi kandungan khutbah tersebut, Nabi sawpun bersabda: “Tulislah kamu semua (isyarat kepada sahabat yang lain) untuk Abu Syah.”Ini menunjukkan Nabi mengarahkan kepada usaha yang boleh membantu ingatan dan hafalan iaitulah dengan menulis. Abu Syah bukanlah seorang yang boleh menulis, walaupun demikian Nabi saw tidak pernah penyuruh beliau membaca Yasin atau apa surah pada air zam-zam (atau air yang lain) untuk menguatkan hafalan dan ingatannya, sebaliknya Nabi saw menyuruh sahabat lain menulis untuknya. Kalau baca surah tertentu pada air itu boleh bagi seseorang itu pandai, kuat ingatan dan hafalan sudah tentu Nabi saw akan lakukannya atau menyuruh Abu Syah melakukannya. Tidak dinafikan memang wujud hadis-hadis yang menunjukkan kepada adanya persoalan jampi. Namun bukanlah sehingga diperluaskan skopnya dan malah hingga ianya dikomersilkan hingga meluas.
5) Taksub
Sikap taksub pada parti, mazhab dan jamaah atau aliran tertentu adalah salah satu punca melemahkan kekuatan umat islam kerana taksublah pemikiran umat islam menjadi jumud yang menyanggahi norma-norma keilmuan yang menuntut keluasan minda dan penelitian fakta. Dr. Yusof al-Qaradawi dengan jelas dalam masalah ini menyebut ini menyebut: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syariat dan perkataan mereka adalh hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabat dan mereka yang selepas sahabat sepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya (penganalisis) membantah sikap melampau dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendeta mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah.” (Dr. Yusof al-Qaradawi, As-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa at-Tafarruq al-Mazmum, hlm. 202, Kaherah: Dar as-Sahwah)
Faktor Penyebab
Apakah punca permasalahan dalam masyarakat umat islam sekarang ini yang tidak sama seperti umat-umat terdahulu? Dimanakah penyebabnya ? Dan saya katakan bahawa “Daripada keruntuhan akidah maka berlakulah keruntuhan ekonomi, perpecahan umat,hilangnya keaslian agama, fitnah memfitnah, sosial ,kebudayaan berlakunya masalah umat dan pelbagai masalah akan terjadi jika tidak dibendung dari akar umbinya.Ia samalah seperti akar pokok yang tidak kukuh akan menghasilkan dahan-dahan yang tidak membuahkan hasilnya”. Sebab itu dalam ajaran islam teras akidah memainkan peranan yang sangat penting dalam meyatupadukan umat islam untuk saling bekerjasama. Itulah teras dan asas yang perlu di jaga. Bila kukuhnya akar dari situ dapat mengukuhkan lagi persaudaraan dalam islam dan menjadi umat yang bertamadun,bekerjasama tidak kira ketika umat islam ditindas atau dihina,dapat membangunkan ekonomi umat islam, kebudayaan,pemikiran dan ilmu. Sedangkan akidah kita terhadap kalimah La ila illa Allah bukan sekadar percaya Allah itu wujud dan bersifat dengan sifat-sifatNya yang sempurna. Bahkan La ilah illa Allah adalah seruan untuk mengabdikan diri kepada Allah. Hukum-hakam syarak dibina di atas tuntutan ini. Dengan hilangnya teras La ilah illa Allah maka penyampaian hukum-hakam syarak menjadi hambar dan hilang kekuatan terasnya. Sebab itulah khurafat , syirik,tangkal menangkal dan bid ah perlu di benteras untuk mengukuhkan akidah umat islam secara tidak langsung dapat mendekatkan hubungan kita dengan Allah dan dari situ dapat memajukan ummah yang bertanggungjawab dan bekerjasama.Kemenangan tidak akan datang selagi akidah dan tawakal umat kepada Allah tidak disucikan kembali. Firman Allah s.w.t : Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan. (al-Ahzab -71).
-Allahu a’lam-
Muhammad Fakhruddin Bin Ismail
Bachelor In Accounting (HONS)-Candidate
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

0 comments:

Post a Comment

Kepada sesiapa yangg ingin post apa-apa artikel, video atau sebarang komen, sila email atau sms kepada sya_i_zz@yahoo.com(012-9432204) atau kepada saudara akmal syahid_akmal@yahoo.com(012-3218987) dan amirul mukminin amer_ktb@yahoo.com (013-2845128)..

Aktiviti Alumni Pada Tahun 2008