Syubhat Terhadap Sunnah

Friday, November 06, 2009

Syubhat Terhadap Sunnah: Seputar Amar Ma`aruf dan Nahi Munkar

Oleh: Abu Ayyub Muhammad Fashan b.Ahmad Ziadi

Umat Islam merupakan sebaik-baik umat yang dikeluarkan oleh Allah Jalla wa `ala dikalangan manusia di muka bumi ini.Allah subhanahuwaTa`ala mengiktiraf mereka disebabkan ciri-ciri yang ada pada mereka iaitulah mereka beriman kepada Allah dan melaksanakan Amar Ma`ruf dan juga Nahyil Munkar.Firman Allah ta`ala:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آَمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.[1]


Sepakat para ulama` Tafsir dan juga ulama` hadith menyatakan bahawa sebaik-baik manusia di kalangan umat Nabi Muhammad sallallahu`alaihiwasallam ialah para Sahabatnya kemudian ialah para Tabi`in seterusnya tabi`in dan juga orang-orang yang mengikuti mereka dengan benar dan baik.Hal ini berdasarkan sabda Nabi sallallahu`alaihiwasallam:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِيءُ مِنْ بَعْدِهِمْ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَتُهُمْ أَيْمَانَهُمْ وَأَيْمَانُهُمْ شَهَادَتَهُمْ

Sebaik-baik manusia ialah mereka yang hidup dalam kurunku ( para sahabatku),kemudian mereka yang selepasnya(tabi`in),kemudian mereka yang selepasnya ( Tabi`u tabi`in) kemudian datang selepas mereka suatu kaum yang persaksian mereka mendahului sumpah mereka,dan sumpah mereka mendahului persaksian mereka.[2]


Imam Muslim rahimahullah meletakkan satu bab di dalam Shahihnya iaitu “Bab Penjelasan Mengenai Mencegah Kemungkaran Sebahagian Daripada Iman” membawakan hadith yang diriwayatkan oleh `Abdullah ibn Mas`ud radiallahu`anhu bahawasanya Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam bersabda:

مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللَّهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرُونَ فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنْ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ

Tiada seorang Nabipun yang telah Allah utuskan pada setiap umat sebelumku melainkan bersamanya disertakan hawariyyun[3] dan para sahabat yang mengambil agama melalui sunnahnya dan mencontohinya dalam melaksanakan semua perintahnya.Kemudian sesungguhnya selepas itu akan menyelisihi kaum(selepas mereka) mereka berkata apa yang tidak mereka lakukan,dan mereka melakukan apa yang tidak diperintahkan, sesiapa yang mengingkari mereka dengan tangannya maka dia adalah seorang yang beriman, sesiapa yang mengikngkari mereka dengan lisannya maka dia seorang yang beriman,dan sesiapa yang mengingkari mereka dengan hatinya maka dia seorang yang beriman dan tiada selepas itu daripada iman sebesar bijian [4

Imam Nawawi ketika mensyarahkan bab yang terdapat di dalam Shahih Muslim ini berkata:

ان الامر بالمعروف والنهى عن المنكر فرض كفاية اذا قام به بعض الناس سقط الحرج عن الباقين واذا تركه الجميع أثم كل من تمكن منه بلا عذر ولا خوف

Sesungguhnya Amar Ma`aruf dan Menegah daripada kemunkaran merupakan fardhu kifayah, jika dilakukan oleh sebahagian manusia maka gugur tanggungjawab ke atas yang lainnya, dan jika ia ditinggalkan oleh kesemua mereka berdosa setiap dikalangan yang mampu tanpa keuzuran dan juga ketakutan.[5]

Penulis ingin mengajak para pembaca agar meneliti ayat 110 surah ali-Imran dan juga hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Shahihnya serta munasabah bab yang diletakkan oleh Imam Muslim dengan hadith `Abdullah ibnu Mas`ud radiallahu`anhu di atas.
Apabila melihat kaitan di antara bab yang dikarang oleh Imam Muslim rahimahullah dangan hadith `Abdullah ibnu Mas`ud radiallahu`anhu di atas kita akan mendapat beberapa faedah yang berguna dalam memahami istinbat dari hadith tersebut:


1. Para Sahabat Nabi sallallhu`alaihiwasallam merupakan penolong-penolong Nabi sallallahu`laihiwasallam sepertimana Hawariyyun yang menjadi pembantu dan pembela kepada Nabi Isa `alaihissalam.

2. Mereka( para sahabat) dikatakan sebagai hawariyyun (penolong atau pembela) bagi Nabi kerana mereka mengambil agama melalui sunnah Nabi dan mencontohi sunnah Nabi dalam segenap aspek baik dalam akidah, syariah mahupun akhlak.

3. Mengambil dan beramal dengan Sunnah serta Mengajak manusia kepada sunnah [6]Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam merupakan sebesar-besar perkara Ma`ruf.

4. Bid`ah adalah di antara sebesar-besar kemungkaran selepas kesyirikan, maka segala usaha yang dilakukan bagi membanteras bid`ah( perkara yang direka-reka dalam agama yang tidak pernah diperintahkan oleh Nabi) maka ianya termasuk dalam amar ma`ruf Nahi Munkar[7].
5. Melaksanakan Amar Ma`ruf Nahi Munkar merupakan ciri-ciri umat yang terbaik selepas beriman kepada Allah subhanahuwata`ala dan beramal soleh.


Begitu juga di antara Maqasid Syari`ah (tujuan Syari`ah) adalah bagi memelihara agama dan ia juga merupakan maslahah yang paling utama[8] dan merupakan ad-Dharuriyat yang wajib dijaga dan dihilangkan segala perkara yang boleh memudaratkan dan merosakkan agama.Bid`ah merupakan antara perkara yang boleh merosakkan kesucian, ketulenan dan keaslian agama Islam.Oleh kerana itu wajib bagi kaum muslimin agar sentiasa mewaspadai bid`ah dan juga mengingatkan manusia agar meninggalkannya kerana ianya merupakan seburuk-buruk perkara dan merupakan kesesatan .Sabda Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam:

وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدِثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ شَرَّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Dan berjaga-jagalah kamu dengan perkara-perkara baru yang diadakan (dalam agama) kerana sesungguhnya seburuk-buruk perkara adalah setiap perkara yang baru(dalam agama) dan setiap perkara baru(dalam agama) adalah bid`ah dan setiap bid`ah itu sesat.[9]

Al-Hafiz al-Isma`ili( w 371H) berkata:

Imam-imam hadith berpendapat( wajibnya) menjauhi bid`ah dan dosa-dosa, menahan diri dari gangguan serta meninggalkan ghibah( mencela orang lain) kecuali kepada orang yang menampakkan bid`ah dan ia menyerukan kepadanya, maka membicarakan kejelekannya menurut mereka bukan termasuk ghibah (yang diharamkan)[10]

Bersambung....


[1] Ali-Imraan 3:110.Untuk tafsiran yang lebih lengkap Sila rujuk Tafsir al-Quran al-`Azhim Ibn Kathir dan juga Tafsir as-Sa`di.

[2] HR Bukhari no:5949

[3] Hawariyyun ialah istilah yang dinisbahkan kepada sahabat-sahabat Nabi `Isa `alaihissalam, ia juga bermaksud pembela, pembantu atau penolong.Lihat Ibn Athir dalam an-Nihayah fi Gharibil Hadith wal athar 1/1079, Maktabah Syaamilah

[4] HR Muslim dalam Shahihnya 1/168, Ahmad di dalam Musnadnya no:4379,Abi `Awanah dalam Musnad Abi `Awanah no:100

[5] An-Nawawi, al-Minhaj Syarh Shahih Muslim ibn Hajjaj, 2/27 ,Maktabah Syaamilah

[6] Perlu diingatkan apabila disebut Sunnah maka ianya merangkumi kesemua perkara yang disandarkan kepada Rasulullah baik berupa perkataan, pengakuan , dan perbuatan serta sifat yang merangkumi masalah `itikad(akidah) dan kepercayaan,ibadah dan juga akhlak.

[7] Hal ini bagi membantah kekeliruan sesetengah pihak yang menganggap remeh usaha menjelaskan kepada masyarakat tentang bahaya bid`ah dan amalannya.Bagi mereka asalkan perkara itu bertujuan baik dan tidak bermaksiat(menurut hawa nafsu mereka) maka ianya boleh dilakukan.Malah ada juga yang beranggapan bid`ah lebih baik daripada maksiat, sedangkan banyak nas yang menunjukkan bahawa pelaku bid`ah lebih berbahaya daripada pelaku maksiat. Walaupun begitu hal ini bukanlah menunjukkan bahawa ahlu sunnah meremehkan perkara maksiat tetapi ianya hanya menunjukkan tingkatan maksiat itu sendiri berbeza-beza.Bid`ah merupakan kemungkaran yang paling besar selepas syirik kerana ianya bersifat mengubah agama yang asal.wallahu`alam.

[8] Sila rujuk Ma`alim Ushul al-Fiqh `Inda Ahlis Sunnah wal Jamaah oleh Muhammad b.Husain b.Hassan al-Jaizani, hlm 236.

[9] HR Ibn Majah no: 45, Abu Daud no:3991,Tirmidzi no: 2600 .Lihat Silsiilah as-Shahihah 6/238

[10] I`tiqaad A`immatil Hadith hal 78.dinukil dari Syarah Ushulus Sunnah Imam Ahmad oleh Syeikh Walid b.Muhammad Nubaih. Hlm 42-43 terjemahan Muhammad Washito.Maktabah Ibnu Taimiyyah Indonesia.
Dicatat oleh Abu Ayyub Muhammad Fashan b.Ahmad Ziadi di 10:08 AM 0 ulasan

0 comments:

Post a Comment

Kepada sesiapa yangg ingin post apa-apa artikel, video atau sebarang komen, sila email atau sms kepada sya_i_zz@yahoo.com(012-9432204) atau kepada saudara akmal syahid_akmal@yahoo.com(012-3218987) dan amirul mukminin amer_ktb@yahoo.com (013-2845128)..

Aktiviti Alumni Pada Tahun 2008