Selamatkan Uda dan Dara

Friday, November 13, 2009

Selamatkan Uda dan Dara Dengan Hikmah Puasa
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
“Ustaz, rasanya saya ni memang dah sampai ke tahap wajib untuk kahwin,” kata seorang mahasiswa.
“Kalaulah anta juga sudah memang sampai tahap wajib berjihad!” saya mengusik.
“Err…” beliau kebingungan.
“Ana gurau je. Apa yang membawa anta berjaya sampai ke tahap wajib kahwin ni?” saya mengajak beliau kepada diskusi.
“Ye lah, hari-hari terserempak di kuliah. Hari-hari terserempak di kafe. Susah nak elak!” ujar beliau dengan nada serius.
“Oh, susahlah macam tu. Kalau anta sentiasa terpaksa berkahwin dengan orang yang anta terserempak hari-hari, jenuh la masa kerja di KLCC nanti. Ramai orang ‘hebat’ yang anta bakal terserempak setiap hari!” saya cuba mencuit perasaannya.
“Ustaz! Tak membantu langsung la macam ni!” kata beliau dengan nada agak kecewa.
“Haha, janganlah kecil hati. Ustaz mengusik aje. Tapi dalam usik tu ada kebenarannya. Betul tak?” saya menepuk bahunya.
Beliau tersengih.
“Kalau anta yakin yang anta sudah sampai ke tahap wajib kahwin, apa yang menghalangnya?” saya bertanya lagi.
“Segalanya, ustaz. Ibu bapa, penaja, financial dan seluruh petala langit dan bumi!” kata beliau dengan nada dramatik.
Saya ketawa. Antara kasihan dan geli hati.
“Hmm, kalau begitu nampaknya anta kenalah berpuasa sebab sudah ada keinginan yang tinggi, tapi belum ada kemampuan,” saya berkongsi.
“Puasa tu puasa dah ustaz. Tapi keinginan tu tak pernah pudar. Zaman student macam ini memang selalu terpaksa puasa pun. Terutamanya hujung bulan. Kalau tak mee segera, puasalah jawabnya!” tambah beliau lagi.
“Puasa yang macam itu tidak membantu anta. Ia bukan latihan. Ia bukan puasa yang dimaksudkan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam,” saya seperti sudah bertemu dengan salah satu ‘masalah’ anak muda ini.
“Maksud ustaz?” beliau meminta huraian.
PUASA SEBAGAI BENTENG

“Wahai sekalian anak muda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan maka bernikahlah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata serta lebih menjaga kehormatan diri. Dan barangsiapa yang belum mampu hendaklah berpuasa, kerana puasa itu dapat membentenginya.” [Muttafaq ‘Alaih]
Itu pesanan Rasulullah Sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada anak muda yang berkeinginan tetapi belum berkemampuan.
Mereka disarankan berpuasa kerana puasa itu mampu bertindak sebagai benteng yang menghalang dirinya menjamah larangan Allah Subhanahu wa Ta’aala.
Namun, mekanisme puasa sebagai benteng perlu difahami. Andai benteng itu hanya benteng sekadar mengempang keinginan, risikonya tinggi. Tembok empangan itu bisa pecah kalau tekanan yang tolak menolak antara air dan empangan dibiarkan tanpa pengawasan.
Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan puasa yang mendidik gelora anak muda.
Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan puasa yang berfungsi mentarbiyyah nafsu yang berkeinginan tinggi.
Sebaliknya jika kita ada segalanya untuk dimakan, lalu kita memilih untuk tidak makan kerana mahu mentaati Allah, maka barulah ia jadi sebuah latihan.
Apakah latihan itu?
Latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah keinginan diri kerana mahu mentaati Allah. Latihan yang meningkatkan daya kawalan diri.
BUKAN HANYA PUASA RAMADHAN
Inilah yang mesti dihayati oleh anak muda yang berpuasa kerana menahan diri dari nikah seketika. Ia mesti berlaku dalam keadaan kita sedar apa yang sedang kita lakukan, maka barulah ia berperanan sebagai tarbiyyah ke atas diri. Puasa itu bukan menyekat kemahuan bernikah semata-mata, antara terbit mentari hingga tenggelamnya suria. Jika puasa sekadar itu, jiwa akan menjadi ganas memberontak di kelam malam!
Sebaliknya puasa itu harus dihayati sebagai latihan untuk berkata tidak.
Belajar untuk meningkatkan kawalan diri.
Apatah lagi dengan puasa sunat yang dilakukan ketika manusia lain tidak berpuasa. Ia benar-benar satu latihan untuk diri kita berkata TIDAK kepada banyak kemahuan diri yang boleh diketepikan seketika, demi mentaati Allah.
KESAN HIDUP YANG KONDUSIF
Dalam suasana kehidupan kita yang semakin kondusif, hampir sahaja mendapat apa yang diinginkan, apa yang terkorban adalah kekuatan diri untuk mengawal keinginan. Apa hendak semua dapat, ketika kehendak itu hanya pada membeli buku, membeli pakaian, membeli gajet atau melancong ke sana sini. Tetapi tatkala kehendak itu adalah pada sebuah NIKAH, ia bukan lagi semudah mengisi kehendak-kehendak yang lain.
Ada banyak yang perlu dipertimbangkan.
Justeru mungkin pengalaman mahu bernikah menjadi pengalaman pertama si anak muda berdepan dengan situasi tidak mampu mencapai impian dan keinginan. Namun dek kelemahan diri yang sukar untuk berkata TIDAK dan menundukkan kemahuan kerana sudah biasa dapat apa sahaja yang dihajat, kebijaksanaan minda dan ketinggian mata akademik bagai kosong dari sebagai nilai jati diri.
Tumpas.
Manusia yang gagal berkata tidak kepada sebahagian keinginan diri, mereka menjadi hamba kepada nafsu dan diri sendiri. Manusia ini disesatkan oleh Allah, biar pun dengan ilmu yang berlapis tujuh di dada dan minda.

“Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, justeru dia disesatkan oleh Allah di atas ilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [al-Jaathiyah 45: 23]
Itulah bencana lemah kawalan diri.
Sentiasa terpaksa mengikut apa sahaja yang diinginkan hingga tidak mampu berkata tidak di mana perlu.
Justeru bagi anak muda yang sedang sampai tahap wajib kahwin namun terhalang oleh 1001 halangan, wajibkanlah dirimu dengan jihad mengawal nafsu dan keinginan diri.

KESIMPULAN
Setiap kali seorang anak muda berpuasa, ingat-ingatlah kepada pakejnya yang diberikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]
Puasa sudah diberi sebagai wija’.
Ia hanya berperanan sebagai latihan apabila puasa itu menahan diri daripada:
1. Makan
2. Minum
3. Perkara-perkara lagha dalam kehidupan
4. Perkara-perkara lucah atau yang bersangkutan dengan naluri seksual
5. Bertindak reaktif membalas provokasi.
Jika puasa untuk menangguh nikah hanya dibuat dengan menahan diri daripada makan dan minum, ketahuilah ia tidak akan bertahan. Seorang anak muda juga harus mencegah dirinya daripada perkara-perkara yang lagha dalam kehidupan seharian. Sibukkan diri dengan hal-hal yang bermanfaat.
Seorang anak muda juga harus mencegah dirinya daripada perkara-perkara rafas, yakni sebarang aktiviti yang menjurus kepada rangsangan seksual. Baik dalam bentuk percakapan, fikiran atau pun tindakan perbuatan.
Seorang anak muda juga, di samping puasa makan minumnya, harus belajar untuk tidak menjadi hamba perasaan. Jangan emosional. Belajar mengawal diri dan mampu mengawal keinginan daripada bertindak hasil dorongan perasaan dan bukannya fikiran.
Puasa bukan empangan yang menanti pecah.
Ia adalah tarbiyyah dari Allah untuk kalian proaktif, memilih tindakan hasil saringan dan bukannya bertindak mengikut rangsangan dan perasaan.
“Alhamdulillah. Terima kasih ustaz,” kata anak muda itu.
“Sama-sama” saya menjawab.
“Cuma, macam mana kalau saya faham semua nasihat ustaz itu tetapi tiada kekuatan untuk melaksanakannya?” soalan tambahan pula diajukannya.
“Oh, senang sahaja. Ambil tangan letakkan kepada api!” saya memberi simpul mati.
“Oh, hehe!” ketawa beliau kerana sudah tiada apa yang mahu disoalkan lagi.
Anda berusaha.
Kami doakan.

0 comments:

Post a Comment

Kepada sesiapa yangg ingin post apa-apa artikel, video atau sebarang komen, sila email atau sms kepada sya_i_zz@yahoo.com(012-9432204) atau kepada saudara akmal syahid_akmal@yahoo.com(012-3218987) dan amirul mukminin amer_ktb@yahoo.com (013-2845128)..

Aktiviti Alumni Pada Tahun 2008